Thibbun Nabawi ( HOLISTIK )

PERAWATAN DALAM ISLAM



Benarlah kata Rasulullah, "berbalik lah kepada al-quran dan hadith". Islam itu Syumul, segala-galanya ada dalam Islam. Perawatan penyakit pun sudah termaktub dalam al-quran. Al-Quran adalah syifa' atau penyembuh.

Perubatan Holistik
Perubatan holistik ialah satu kaedah perubatan yang menyeluruh, merangkumi rawatan kepada permasalahan jasad dan rohani dengan menggunakan unsur alamiah dan ilahiah.

Tujuan utama perubatan holistik ini adalah untuk mengembalikan keharmonian kekuatan fitrah (sistem imuniti) agar tubuh berupaya menyembuhkan dirinya sendiri melalui proses kimia tubuh yang sangat kompleks. Untuk merealisasikan tujuan tersebut, tindakan pemulihan yang dikenali sebagai pencucian dan pengimbangan perlu dilakukan.
Pencucian ialah tindakan menyapu bersih kotoran dalam tubuh manakala pengimbangan pula ialah pengaturan semula tindakan hormon dalam tubuh supaya berada dalam keadaan seimbang.
Otak manusia terbahagi kepada dua iaitu otak sedar yang terletak di bahagian atas dan otak naluri yang terletak di bawah. Otak naluri mempunyai kebijaksanaan mengatur proses-proses kimia di dalam tubuh dan ia terdapat dalam bentuk simpul-simpul saraf yang dikenali sebagai hipotalamus.
Hipotalamus berhubungan rapat dengan Kelenjar Pituitari dan ia mengawal naluri manusia dan mempengaruhi emosi. Kelenjar Pituitari inilah yang mengatur semua kelenjar-kelenjar hormon dalam tubuh. Keharmonian tubuh bergantung kepada keseimbangan hormon-hormon di bawah kawalan Kelenjar Pituitari.
Keseimbangan hormon dan kerjasama antara hormon akan memberi kesan kepada emosi, rasa hati dan perangai seseorang. Pembawa sifat anda samada berani atau takut adalah dipengaruhi oleh hasil persenyawaan baka induk (gen) kedua ibu bapa anda. Ia dikenali sebagai Deoxyribo Nucleac Acid (DNA).

Di dalam ketamadunan Islam dan sejarah perkembangannya, bidang teknologi perubatan telah lama dipraktik dan diamalkan oleh masyarakat terdahulu. Seorang tokoh perubatan Islam terkenal, Abu Ali Al Hussain Ibnu Abdullah (Ibnu Sina) menyatakan bahawa “Tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan juga untuk mengembalikan kesihatan ketika hilang”.

Perubatan merangkumi 2 perspektif utama iaitu:
1.      Perubatan Rawatan

2.      Perubatan Kawal-Cegah

Sebagaimana Islam memberi keutamaan kepada aqidah, ia juga memberikan perhatian kepada bidang perubatan samada Perubatan Rawatan atau Perubatan Kawal-Cegah, sekali pun perhatiannya terhadap Kawal-Cegah itu lebih banyak."Sesungguhnya satu dirham untuk kawalan pencegahan dan berpantang itu lebih baik daripada wang yang bertimbun-timbun untuk berubat".
 bab perubatan mata dalam kitab Qanun At-Thibb-IBNU SINA
Islam mewajibkan  setiap manusia memberikan hak yang sewajarnya kepada tubuh badannya. Diantaranya ialah merawatinya ketika ia sakit. Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam beberapa hadisnya memerintahkan supaya orang yang sakit mendapatkan rawatan dengan berubat untuk menyembuhkan penyakitnya.Sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w.  “ Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan untuk kamu bahawa setiap penyakit ada ubatnya. Oleh kerana itu, berubatlah tetapi jangan berubat dengan yang haram”.

Nabi s.a.w. sendiri berubat untuk dirinya dan menyuruh keluarga dan sahabatnya yang dihinggapi penyakit supaya berubat.

Apabila penyakit itu bertemu ubatnya maka sembuhlah ia. Itulah yang disebut sebagai keserasian. Namun dalam proses mencari ubat, manusia sering menemui jalan buntu apabila usaha-usaha yang dilakukan itu tidak berjaya.

Sering kita dengar bahawa seseorang itu kadang-kadang dijangka tidak mempunyai harapan untuk terus hidup. Jika ia hidup usianya mungkin dalam jangka 6 bulan  atau setahun. Jangkaan seumpama itu biar pun pada lazimnya atau pengalaman, kajian saintifik atau sebagainya tidak seharusnya dijadikan satu hukuman untuk tidak memberikan harapan hidup biar pun jangkaan ini benar-benar terjadi. Hanya Allah s.w.t. yang menentukan ajal maut seseorang. Walaupun doktor menjangkakan umur pada tarikh-tarikh tertentu, namun selagi jangkaan tarikh tersebut tidak menepati ketentuan Allah s.w.t. orang berkenaan tetap hidup.

Dalam kaedah perawatan Islam, unsur yang dapat menyembuhkan bukanlah ramuan ubat semata-mata tetapi juga unsur harapan kepada Allah s.w.t. yang tidak akan mensia-siakan orang yang bergantung kepadaNya. Setiap kali putusnya harapan dan cita-cita, maka sulit lagilah pesakit itu akan sembuh. Sesungguhnya rawatan yang hakiki mestilah merangkumi jasmani dan rohani sekali gus. Dengan pendekatan ini ramai para tabib atau doktor telah membuktikan mereka mampu merawat pesakit mereka dengan lebih sempurna dan sewajarnya. Akhirnya mereka telah menghasilkan keputusan yang cemerlang.

Maka selepas beberapa penyiasatan dan renungan yang mendalam, mereka telah membina satu falsafah baru mengenai rawatan ini diatas asas berikut:

1.      Pengetahuan dalam bidang ilmu perubatan.
2.      Pegangan dan kepercayaan kepada Allah s.w.t.

Manakala rawatan secara fizikal adalah menggunakan ubat-ubatan dan memanafaatkan pengetahuan dalam bidang ilmu perubatan. Rawatan jenis ini adalah diakui oleh Islam bahkan ada diantaranya disebut dalam Al Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Kesimpulannya, mendapatkan rawatan adalah dituntut oleh Islam sebagai satu langkah untuk memelihara dan menjaga nikmat kesihatan dan keselamatan tubuh badan. Dalam hal ini Islam melalui petunjuk Rasulullah s.a.w. bukan sekadar memberi galakan kepada orang sakit supaya mendapat rawatan, tetapi juga telah mengemukakan satu pendekatan terbaik untuk merawat penyakit iaitu pendekatan bersepadu yang menggabungkan usaha secara jasmani dan rohani. Islam juga terlalu menitik beratkan akan menjaga kebersihan kerana ia adalah tabiat pencegahan terbaik dalam menjaga kedua-duanya. Didalam kontek ketahanan atau penyebaran dakwah Islam juga ditegaskan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim iaitu “Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik daripada mukmin yang lemah, tetapi kedua-duanya adalah baik”.

Hukum Menuntut Ilmu Perubatan@Perawatan
Alim ulamak bersepakat mengatakan bahawa menuntut ilmu perubatan@perawatan itu hukumnya adalah fardu kifayah atau satu tanggungjawab yang dikenakan keatas orang Islam secara umum untuk mempelajarinya. Ganjarannya amat luas jika dilaksanakan dengan jalan yang diredhai Allah.



 Hukum Mengajar Ilmu Perubatan@Perawatan
Hukum mengajar ilmu perubatan adalah wajib bagi orang yang arif mengetahuinya. Menyembunyikan ilmu adalah berdosa dan termasuk dalam golongan orang-orang yang bakhil serta mengkufuri nikmat Allah.

Hukum Berubat
Hukum berubat ada dua iaitu Wajib dan Harus.
 
Wajib:
Hukumnya menjadi wajib sekiranya penyakit yang dihidapi mendatangkan kemudharatan atau tidak dapat menanggung kesakitan.

Harus:
Hukumnya menjadi harus jika si pesakit masih dapat menanggung kesakitan dan bersabar serta penyakit belum ditahap yang membimbangkan.

Hukum Mengubat@Merawat
Mengubat@merawat orang yang sakit merupakan satu kewajipan bagi orang yang mengetahuinya. Orang yang berilmu tetapi tidak menyebarkannya kepada masyarakat dianggap sebagai mengkufuri nikmat Allah. Bagi perawat, merawat pesakit adalah salah satu ciri-ciri mensyukuri nikmat Allah. Ini dijelaskan dalam Al-Quran surah Ibrahim ayat 7.

Firman Allah:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih.

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa menolong orang yang menderita atau kebuntuan pemikiran adalah salah satu usaha mendampingkan diri kepada Allah swt. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasullullah SAW bersabda: 

"Barang siapa yang melapangkan kesempitan dunia saudaranya yang islam, nescaya Allah akan melapangkan baginya kesempitan akhirat dan barang siapa yang meringankan seseorang yang berada dalam kesempitan, maka Allah akan meringankan ke atasnya di dunia dan akhirat. Allah tetap membantu seorang hamba selagi hamba itu membantu saudaranya yang islam.



Hukum Menerima Ganjaran@Upah
Hukumnya harus mengambil ganjaran/upah dari pesakit atas usaha usaha pengubatan/rawatan yang menggunakan ayat ayat Al-Quran. Walaupun hukum menerima upah/ganjaran perubatan itu adalah harus, akan tetapi jika tidak diambil adalah lebih baik. Namun masa kini, bahan bahan yang digunakan untuk tujuan perubatan adalah dibeli dan diproses. Jadi memadailah perawat mengenakan upah yang berpatutan untuk kos bahan yang diperlukan untuk perubatan, tenaga dan belanja pengurusan.



PERINGATAN !!!

Perlu diperingatkan bahawa jika anda ingin melakukan rawatan mengusir atau membunuh Jin dan Syaitan, terlebih dahulu haruslah mempunyai persiapan diri yang secukupnya dengan mengamalkan ayat-ayat PAGAR DIRI sebelum rawatan dimulakan. Memenuhi kriteria yang diterangkan dibawah ini dimestikan. Jika melanggar apa saja dari kriteria ini akan menyebabkan anda sendiri akan mendapat bahaya akibat tindakbalas dari Jin dan Syaitan itu sendiri. Antaranya ialah :
 
  • Perawat haruslah betul-betul bertaqwa kepada Allah, percaya akan pertolongan dan selalu mematuhi ketentuannyaNya


  • Menyingkirkan segala macam gambar atau patung di tempat melakukan rawatan kerana ia memiliki daya tarik yang kuat bagi jin.


  • Perawat mesti berniat bahawa melakukan perawatan Islam hanyalah semata-mata kerana ALLAH dan bukan kerana selainNya.


  • Perawat mesti menjalani khusus perawatan Islam yang sebenar, yang diajarkan oleh Ustaz atau alim ulamak yang bertauliah.


  • Mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenai perawatan Islam dan ciri-ciri perawat yang dituntut dalam perawatan Islam.


  • Perawat juga mestilah mempunyai asas-asas agama yang kukuh dan beramal soleh dan selalu dalam keadaan berwudhu' ketika rawatan.


  • Diingatkan bahawa apabila merawat seorang wanita mestilah dengan keizinan suami atau muhrimnya (waris) dan suami atau muhrimnya (waris) mesti hadir bersama-sama bila rawatan dilakukan.


  • Wanita tersebut mesti berpakaian menutup aurat seperti yang dianjurkan oleh agama Islam. Perawatan Islam dan ciri-ciri perawatan yang dituntut dalam perawatan Islam.


  • " Sesungguhnya Allah S.W.T tidak menurunkan sesuatu penyakit itu melainkan diiringi dengan penawarnya" 


    Wallahu'alam.